Ross Lina Bt Mansor
MENTOR
Gambar saya

Melibatkan diri sebagai trainer/coach semenjak menjadi pemimpin pelajar pada tahun 1986 bersama Biro Tatanegara. Dengan berbekalkan Sijil Perguruan beliau memulakan karier sebagai pendidik  dan  ditempatkan di sebuah sekolah rendah di pedalaman pada tahun 1988. Keterbatasan kemudahan asas, jauh dari keluarga, perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran berbeza banyak mengajar beliau erti kehidupan sebenar. Pada tahun ke 10 di sekolah rendah beliau meneruskan cita-cita menyambung pengajian di peringkat ijazah. Kehidupan beliau sebagai pelajar pra graduat  tidaklah mudah kerana telah berkeluarga dan mempunyai 5 orang anak yang masih kecil. Inilah yang menjadikan beliau seorang yang kreatif  dalam mengurus kehidupan.  Akhirnya pada tahun 2001 beliau lulus dengan cemerlang dan dianugerah ijazah Sarjana Muda oleh UPSI. Kegigihan beliau mendapat perhatian dan turut dianugerah sebagai Pelajar Contoh . Seterusnya beliau ditempatkan mengajar di sekolah menengah harian biasa. Dari sinilah beliau berhadapan dengan masalah disiplin pelajar setiap hari dan pengalaman ini memberikan beliau ruang dan peluang memahami konflik dunia  remaja yang penuh cabaran. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dalam bidang yang sangat beliau minati iaitu Kerja Sosial. Bidang ini memberi peluang beliau mengenali manusia yang telah tersasar dan bagaimana mengembali mereka ke pangkal jalan. Beliau berpendapat setiap manusia dilahirkan berpotensi dan potensi tersebut perlu digilap agar individu dapat berfungsi dengan efisyen dalam masyarakat.

 Beliau berpegang teguh kepada prinsip ‘no judgement’ setiap manusia adalah baik, berpeluang menjadi baik , perlu dipandu untuk menjadi baik dan boleh menjadi baik. 

Beliau kini di tahun ke 16 bertugas sebagai  pensyarah di sebuah institut pendidikan guru di bidang Ilmu Pendidikan (Psikologi Perkembangan Kanak-kanak dan Remaja. Psikologi Pembelajaran).

Manusia adalah makhluk unik ciptaan Allah yang sungguh istimewa . Pengalaman hidup, pengalaman mendidik dari peringkat sekolah rendah, menengah dan institut pendidikan guru merangsang minat beliau dalam memulih dan  menggilap potensi manusia membawa beliau meneroka ilmu kesihatan mental.  Sehingga beliau ditauliahkan Certified Master Practitioner Neo-Cognitive Behavioral Therapy,  Certified Master Practitioner Art Drawing House Tree Person, Certified Master Practitioner Mindfullness Love Theraphy. Beliau kini  meneroka ilmu  graphology dan telah dianugerah sijil Fundamental of Handwriting Analysis, Signature Through Handwriting Analyysis, Love and Relationship through Handwriting Analysis, Leadership Through Handwriting Analysis .

Beliau adalah ahli seumur hidup Persatuan Pengamal ADHTP.