Depression, Anxiety and Stress Scale 21 item (DASS-21)

Depression, Anxiety and Stress Scale 21 item (DASS-21) merupakan alat kajian mengukur tahap stres, kemurungan dan juga kebimbangan seseorang. DASS-21 item ini merupakan inventori versi pendek yang telah diubah suai daripada DASS-42 item. Inventori ini telah diperkenalkan oleh Peter Lovibond daripada University of New South Wales, Australia. DASS-21 telah diterjemah dalam pelbagai bahasa termasuklah versi Bahasa Malaysia (BM) yang mempunyai 21 item. Inventori ini telah diguna pakai secara meluas di seluruh dunia untuk mengukur aspek psikologi seseorang (Ramli, Rosnani dan Aidil Faszrul, 2012). Semua item dinilai menggunakan skala pemeringkatan Likert dengan empat pilihan jawapan iaitu tidak pernah sama sekali, jarang, kerap dan sangat kerap. 

DASS-21 boleh digunakan oleh sesiapa sahaja kerana ianya mudah untuk digunakan tanpa memerlukan kemahiran khas untuk menggunakannnya dengan berpandukan manual penskoran dan interpretasi yang sedia ada. DASS-21 mempunyai tiga subskala yang diukur iaitu subskala kemurungan (depression), subskala kebimbangan (anxiety) dan subskala stres (stress). Setiap subskala mengukur atribut seperti berikut:

  1. Subskala kemurungan (depression)
    •  Menilai menilai putus asa, penurunan nilai hidup, dysphoria, kekurangan minat atau penglibatan, anhedonia (hilang minat dan keseronokan) dan inersia seseorang.
  2. Subskala kebimbangan (anxiety)
    • Menilai rangsangan autonomi, kesan otot rangka, dan pengalaman subjektif mempengaruhi perasaan cemas sesorang. 
  3. Subskala stres (stress)
    • Menilai perasaan gementar, kesukaran untuk bersantai, mudah rasa marah atau gelisah, mudah marah atau terlalu reaktif dan tidak sabar seseorang. 
 

Kesahan Dan Kebolehpercayaan Depression, Anxiety And Stress Scale 21 Item (DASS-21)

Inventori Depression, Anxiety and Stress Scale 21 item (DASS-21) mempunyai nilai kesahan kandungan dan kebolehpercayaan yang baik dan diterima. Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Ramli Musa dan Ruhaila Maskat (2020), DASS-21 item mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi untuk mengukur tahap kemurungan, kebimbangan dan stres seseorang dengan nilai alpha Cronbach antara 0.85 hingga 0.95. Nilai kebolehpercayaan ini diterima dan membuktikan DASS-21 Item ini mampu mengukur aspek yang ingin diukur.