Depression, Anxiety and Stress Scale 42 item (DASS-42)

Depression, Anxiety and Stress Scale Scale 42 item (DASS-42) merupakan salah satu alat yang digunakan untuk mengukur tahap stres, kemurungan dan kebimbangan seseorang. DASS-42 ini merupakan versi asal DASS yang telah dibina oleh Peter Lovibond. DASS-42 juga telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai alat penyelidikan untuk mengukur aspek psikologi (Ramli, Rosnani dan Aidil Faszrul, 2012). Semua item dinilai menggunakan skala pemeringkatan Likert dengan empat pilihan jawapan iaitu tidak pernah sama sekali, jarang, kerap dan sangat kerap.

DASS-42 turut mempunyai tiga subskala yang diukur seperti DASS-21 iaitu subskala kemurungan (depression), subskala kebimbangan (anxiety) dan subskala stres (stress). Setiap subskala mengukur atribut seperti berikut:

  1. Subskala kemurungan (depression)
    Menilai putus asa, penurunan nilai hidup, dysphoria, kekurangan minat atau penglibatan, anhedonia (hilang minat dan keseronokan) dan inersia seseorang.
  2. Subskala kebimbangan (anxiety)
    Menilai rangsangan autonomi, kesan otot rangka, dan pengalaman subjektif mempengaruhi perasaan cemas sesorang.
  3. Subskala stres (stress)Menilai perasaan gementar, kesukaran untuk bersantai, mudah rasa marah atau gelisah, mudah marah atau terlalu reaktif dan tidak sabar seseorang.

 

Kesahan dan Kebolehpercayaan Depression, Anxiety And Stress Scale 42 Item (DASS-42)

Inventori Depression, Anxiety and Stress Scale 42 item (DASS-42) mempunyai nilai kesahan dan kebolehpercayaan yang sangat baik dan boleh diterima. Menurut kajian psikometrik yang telah dijalankan oleh Ramli, Rosnani dan Aidil Faszrul (2012), DASS-42 mempunyai kebolehpercayaan yang sangat baik dengan nilai alpha Cronbach 0.94 bagi domain kemurungan, 0.90 bagi domain kebimbangan, dan 0.87 bagi domain stres. Manakala, kesahan konstruk bagi DASS-42 ini menunjukkan bahawa 38 item daripada 42 item (90%) mempunyai muatan faktor yang baik. Oleh sebab itu, nilai kebolehpercayaan ini diterima dan membuktikan DASS-42 ini mampu mengukur aspek yang ingin diukur iaitu stres, kemurungan dan kebimbangan seseorang.