Inventori Stres Pelajar (ISP) – Edisi 2020

Inventori Stres Pelajar (ISP) digubal oleh Mohammad Aziz Shah, Durrah Nadiah, Azila Roslan dan Aslina Ahmad (2016) bagi mengukur tahap stres dalam kalangan mahasiswa institusi pengajian tinggi. ISP edisi 2020 adalah edisi terbaharu yang telah diperbaiki item dan pengujian kesahan dan kebolehpercayaan agar lebih bersesuaian untuk diaplikasikan kepada mahasiswa . ISP mengandungi 40 item negatif untuk mengukur 4 subskala (10 Item untuk setiap subskala) iaitu; subskala 1: fizikal (10 item), subskala 2: hubungan interpersonal (10 item), subskala 3: akademik (10 item) dan subskala 4: persekitaran (10 item). Permarkahan ISP digubal berdasarkan skala ordinal, tidak pernah (never), sedikit kerap (somewhat frequent), kerap (frequent) dan sentiasa (always). Nilai yang diberikan untuk setiap pilihan adalah 1 untuk tidak pernah, 2 untuk agak kerap, 3 untuk kerap dan 4 untuk sentiasa. Proses pentadbiran ISP mengambil masa kira-kira 15-20 minit sahaja. Persekitaran lokasi dan pentadbiran haruslah kondusif and selesa. Arahan hendaklah jelas dan tepat untuk memastikan responden menjawab soalan dengan jujur dan tepat berdasarkan dirinya.

Inventori Stres Pelajar (ISP) edisi 2020 berdasarkan gabungan dua teoretikal utama iaitu Teori Sindrom Adaptasi Umum atau General Adaptation Sindrome Theory dan Teori Stres Alam Sekitar atau Environmental Stress Theory. Asas, prinsip dan konsep utama kedua-dua teori ini digunakan untuk mengembangkan skala utama dan subskala ISP iaitu:

  • Subskala 1: Stres Fizikal
    Sub skala fizikal merujuk kepada kesan-kesan stres ke atas fizikal. Apabila individu gagal menangani stres secara berkesan, atau jika stres menjadi sebahagian daripada kehidupan seseorang maka stres sering mempengaruhi atau memberi kesan negatif kepada fisiologi dan fizikal. Antara kesan stres ke atas fizikal seseorang ialah seperti keletihan, kelemahan fizikal, sakit kepala, masalah tidur, sakit belakang dan lain-lain.
  • Subskala 2: Stres Hubungan Interpersonal Sub skala hubungan interpersonal menghuraikan bagaimana kesan stres memberi kesan kepada kesukaran untuk mempunyai hubungan interpersonal yang baik dan berkesan. Kesan stres menyebabkan hubungan interpersonal yang tidak berkesan terutamanya dengan orang yang penting dalam hidup dan juga boleh menjadi salah satu faktor stres kepada seseorang. Individu yang mempunyai perhubungan sosial yang tidak berkesan sering mengalami kesepian, kebimbangan, kemurungan, harga diri yang rendah dan emosi yang negatif.
  • Subskala 3: Stres Akademik Sub skala akademik adalah stres ke atas mahasiswa kerana keperluan menguasai pengetahuan dan kemahiran akademik yang tinggi dalam jangka masa yang sering tidak mencukupi. Ini merupakan faktor yang mempengaruhi stres akademik dalam kalangan mahasiswa . Bagi mahasiswa, bebanan tugas akademik yang meningkat, tanggungjawab semester dan subjek baharu, mengulang kaji, menyiapkan tugasan, menduduki peperiksaan dan persaingan ke atas gred yang cemerlang sering mempengaruhi stres akademik dalam kalangan mahasiswa .
  • Subskala 4: Stres Persekitaran Sub skala persekitaran merujuk kepada persekitaran fizikal dan sosial yang mempengaruhi stres ke atas individu. Stres persekitaran memberi timbal balik kepada diri individu dan bagaimana individu bertindak balas kepada persekitaran dalam keadaan yang stres. Antara stres persekitaran adalah seperti permasalahan kolej atau rumah penginapan, pengangkutan, komputer, terpaksa beratur panjang, persekitaran fizikal yang tidak sesuai, pencemaran bunyi dan udara yang menganggu, kesesakan lalu lintas dan perjalanan berulang-alik adalah contoh stres persekitaran.
 

Kesahan Dan Kebolehpercayaan Inventori Stres Pelajar (ISP) –Edisi 2020

Inventori Stres Pelajar (ISP) mempunyai nilai kesahan kandungan dan kebolehpercayaan yang baik dan diterima. Berdasarkan Mohammad Aziz Shah, Durrah Nadiah, Azila Roslan dan Aslina Ahamad (2016), kesahan kandungan ISP dinilai oleh sembilan panel pakar dalam bidang psikologi, kaunseling dan pendidikan. Skor kesahan keseluruhan ISP ialah 0.805 (80.5%), manakala berdasarkan subskala ialah a) Fizikal ialah 0.807 (80.7%); b) Hubungan Interpersonal ialah 0.789 (78.9%); c) Akademik ialah 0.822 (82.2%) dan d) Persekitaran ialah 0.802 (80.2%). Analisis kebolehpercayan ISP terhadap 40 mahasiswa di Universiti Awam di Perak, Malaysia mendapati bahawa kebolehpercayaan ISP keseluruhan adalah koefision .857. Kebolehpercayaan berdasarkan subskala ialah bagi Stres Fizikal dan Stres Hubungan Interpersonal ISP adalah sederhana iaitu bernilai .680 dan .620, tetapi bagi nilai subskala Akademik (.842) dan Persekitaran (.806) adalah tinggi. Nilai kebolehpercayaan ini diterima dan membuktikan ISP mampu mengukur aspek yang ingin diukur.