Inventori Kecenderungan Bunuh Diri (IKBD)

Inventori Kecenderungan Bunuh Diri (IKBD) dibina oleh Mohammad Aziz Shah (2020) berdasarkan Teoretikal Kecenderungan Bunuh Diri. Hong dan Mohammad Aziz Shah (2018) mengadaptasi Teoretikal Kecenderungan Bunuh diri daripada pelbagai teoretikal bunuh diri dan psikologikal perkembangan manusia. Berdasarkan teoretikal ini, kecenderungan membunuh diri merujuk kepada percubaan bunuh diri dengan tujuan untuk mati termasuk berfikir untuk membunuh diri dan cubaan membunuh diri yang hampir membawa maut. Hong dan Mohammad Aziz Shah (2018) menjelaskan bahawa idea bunuh diri mendahului tingkah laku bunuh diri. Berdasarkan teori ini, keinginan untuk membunuh diri timbul apabila individu mengalami perasaan yang terbeban iaitu satu perasaan di mana individu hanya membebankan orang lain dan keadaan akan menjadi lebih baik apabila individu tersebut tidak wujud lagi. Tambahan lagi, keinginan ini turut hadir disebabkan oleh kehampaan rasa kepunyaan iaitu kombinasi kesunyian dan kekurangan sokongan sosial. Terdapat tiga subskala yang dijadikan asas untuk mengukur kecenderungan bunuh diri iaitu:

  • Sub Skala 1: Perasaan Kemurungan
    Mengukur perasaan kemurungan atau putus asa untuk hidup yang menyebabkan perasaan ingin bunuh diri. Ia juga mengukur perasaan tiada harapan dan terbeban iaitu individu merasa dirinya membebankan orang lain dan keadaan akan menjadi lebih baik apabila dirinya tidak wujud lagi. Perasaan kehampaan, kesunyian dan kekurangan sokongan sosial juga mencetus kemurungan untuk membunuh diri. Perasaan kemurungan akan mencetuskan idea membunuh diri.
  • Sub Skala 2: Idea Bunuh Diri Mengukur idea-idea awal membunuh diri selepas fasa kemurungan seperti berfikir mati dapat menyelesaikan semua permasalahan, mendengar suara untuk membunuh diri, merancang membunuh diri, melepasi perasaan ketakutan dan kesakitan kerana membunuh diri serta membayangkan menamatkan kehidupan sendiri. Kekuatan idea membunuh diri ini akan mencetuskan tingkah laku bunuh diri.
  • Sub Skala 3: Tindakan Bunuh Diri Konstruk ini timbul apabila individu dapat melepasi kesakitan dan ketakutan membunuh diri. Individu akan membuat tindakan bunuh diri seperti menyimpan peralatan untuk membunuh diri, berada ditempat untuk membunuh diri, cubaan membunuh diri, tidak sakit mencederakan diri sendiri dengan niat membunuh diri atau pernah diselamatkan seseorang ketika cuba bunuh diri.

 

Kesahan Dan Kebolehpercayaan Inventori Kecenderungan Bunuh Diri (IKBD)

Inventori Kecenderungan Bunuh Diri (IKBD) mempunyai nilai kesahan kandungan dan kebolehpercayaan yang baik. Menurut kajian psikometrik yang telah dijalankan oleh Hong dan Mohammad Aziz Shah (2018), IKBD ini mempunyai nilai kesahan yang memadai iaitu .893 (89.3%). Bagi analisis kebolehpercayaan, IKBD juga mempunyai nilai yang tinggi iaitu 0.812 yang membuktikan instrumen ini mampu mengukur tahap kecenderungan bunuh diri seseorang dengan baik.